.:Selamat Datang ke Portal Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Tun Abdul Razak:.

Wednesday, December 22, 2010

GAMBARAN HARI AKHIRAT




1.      Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2.      Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu DIA sendiri menjawab dengan keagunganNya"Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa". Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3.      Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4.      Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5.      Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6.      Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7.      Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8.      Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta'ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9.      Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10.  Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11.  Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

a.      Pemimpin yang adil.
b.      Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
c.       Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
d.      Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
e.       Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
f.        Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
g.      Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12.  Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta'ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13.  Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta'ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14.  Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

15.  'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16.  Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17.  Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal.Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

18.  Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19.  Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20.  Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengantangan kiri jika orang bukan mukmin.

21.  Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu
Neraca
Timbangan
. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22.  Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23.  Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24.  Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

25.  Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26.  Syafaat Nabi Muhammad s.a..w. di akhirat :

a.      Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
b.      Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
c.       Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta'ala.

27.  Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28.  Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat.Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29.  Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30.  Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Wallahu A’lam Bissowab.

Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al – Fathani.


JK Dakwah&Tarbiyyah
PERMAI'10

Monday, December 13, 2010

KEUTAMAAN ASYURA (10 MUHARAM)

Dari ibnu Abas ra, dia berkata, "Nabi SAW datang ke Madinah bertemu dengan orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura (tanggal 10 Muharam). Baginda tanyakan hal itu kepada mereka, Mereka berkata, "Pada hari inilah Allah memenangkan Musa dan Bani Israel atas kaum firaun. Maka kami berpuasa untuk menghormatinya. "kemudian Nabi SAW bersabda:
"Kami lebih berhak menghormati Musa as daripada kalian."

Lalu Nabi memerintahkan agar berpuasa pada hari tu.

Tentang fadhilat Aysura ini banyak disebutkan pula dalam atsar. Bahawa Adam diterima taubatnya pada hari itu. Dan pada hari itu Adam masuk syurga. Pada hari itu Arasy diciptakan. Juga Kursi, Langit, Bumi, Matahari, Bulan, Bintang. Disamping itu, Nabi Ibarahim dilahirkan pada hari itu. Dia diselamatkan dari api pada hari itu. Keselamatan Musa dan orang-orang yang bersamanya juga pada hari itu. Isa dilahirkan dan kemudian diangkat ke langit juga pada hari itu.

Pada hari itu juga Idris diangkat ke tempat yang tinggi. Pada hari itu perahu Nuh mendarat di Bukit Judi. Pada hari itu Sulaiman diberi kerajaan yang besar. Pada hari itu Yunus keluar dari perut ikan Nun. Pada hari itu mata (penglihatan) yaaqub dikembalikan, Yusuf keluar dari pengjara dan Ayub terbebas dari sakitnya. Bahkan hujan yang pertama kali turun dari langit ke bumi adalah pada hari Asyura juga. Oleh kerananya puasa pada hari itu telah dilakukan oleh umat terdahulu hingga dikatakan puasa itu diwajiban sebelum diwajibkan puasa Ramadhan.

kemudian dinaskh dan Nabi SAW lalukan puasa itu tahun kedua Hijrah. Kemudian baginda mengukuhnya. Sehingga pada akhir umurnya baginda bersabda:
"Kalau aku masih hidup tahun depan, aku akan puasa tanggal sembilan dan sepuluh (Muharam)."

Tentang puasa tanggal sembilan dan sebelas, telah juga disentuh oleh sabda Nabi SAW:
"Berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya. Dan bezakan sunnah Yahudi (yang hanya puasa sehari tanggal sepuluh Muharam saja)."

Al-Baihaqi merawikan tentang tingkat iman: "Barangsiapa memberi makan kepada anak dan keluarganya pada hari Asyura, Allah akan melapangkannya di seluruh tahun." Dalam satu riwayat ath-Thabrani, "Sedekah satu dirham pada hari ini sama dengan dilipatgandakan tujuh ratus dirham." Ini riwayat Mungkarah.

Adapun Hadis:
"Barangsiapa bercelak mata pada hari itu, tak akak sakit mata di tahun itu. Dan barangsiapa mandi pada hari itu, tak akan kena penyakit pada tahun itu."

Ini adalah hadis Maudhu. Malah Al-Hakim menjelaskan bahawa bercelak pada hari itu adalah bidaah. Pengjelasan Al-Hakim ini sama dengan penjelasan Ibnu Qayyim.

Ketahuilah bahawa musibah yang menimpa diri Hussain pada hari itu adalah menunjukkan betapa ketinggian darjat beliau dan menyusul leluhurnya yang suci. Maka siapa yang mengenang musibah beliau pada hari itu, hendaklah turut berdukacita.
"Untuk mereka itu selawat (berkat) dari tuhannya serta rahmat dan mereka itu mendapat petunjuk."
(Q.S Al-Baqarah: 157)

Jangan lantas melakukan hal yang bidaan, meratap dan sebagainya. Ini bukan akhlak kaum mukminin. Kalau tidak, tentu kematian Rasulullah SAW, lebih utama dan lebih indah untuk itu.

Sunday, December 12, 2010

Aku Tak Sembahyang....Tetapi Aku Berjaya... ( Muhasabah )



Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.

Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Nah… Apakah itu yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.

Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”

ALLAH menjawab,

“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,

“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.

Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.

Wallahu a'lam.

JK Dakwah&Tarbiyyah
PERMAI'10




Tuesday, December 7, 2010

PERUTUSAN HIJRAH 1432 PERMAI SEMPENA MENYAMBUT AWAL MUHARAM 1432H


Menjana Perubahan Di Tahun Baru


Assalamualaikum & Salam Ukhuwah,

Segala puji bagi Allah yang telah mengatur perjalanan setiap para Anbiya’Nya, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi S.A.W yang telah memimpin para sahabatnya sehingga terbentuknya Hakimiyyah Nubuwah selepas peristiwa Hijrah.

Doa untuk para sahabat, tabien dan seluruh pengikut tabien termasuk guru-guru dan murabbi ummah sepanjang zaman sehingga hari qiamat.

1432 tahun yang lalu, berlakunya hijrah Nabi S.A.W dan Khalifah Omar al-Khattab mencatitnya sebagai tahun bermulanya kalendar ummat Islam.

Tidak hairan Khalifah kedua Islam itu memang terkenal dengan al-Faruq; pembeza. Beliau sendiri sangat berbeza semasa jahiliyah dan semasa Islamnya. 

Beliau, dengan sengaja mengambil peristiwa Hijrah sebagai permulaan kalendar untuk menonjolkan satu perbezaan besar telah berlaku, antara perjuangan Nabi S.A.W sebelum Hijrah dan selepas Hijrah.

Timbul tanda tanya, samada kita yang kurang menggunakan kaledar ini, atau paling tidak yang menyambut Maal Hijrah saban tahun ini, dapatkah menghayati dan merasakan konsep “erti beza” ini.

Al-Quraan yang diturunkan pada bulan Ramadhan, merupakan al-Furqan; juga membawa maksud membeza.

Bila al-Quraan bercakap pasal membeza antara al-Haq dan al-Batil  Hijrah pula mengingatkan kita peritiwa yang membawa perbezaan. Dakwah di Mekah tanpa kuasa dan dakwah di Madinah dengan kuasa (authority). Keduanya memerlukan kekuatan berfikir. Berfikir untuk membeza dan membanding.

Rupanya kita adalah ummat yang diajar untuk sentiasa berfikir, menilai, memerhati, membanding yang akhirnya membantu kita membuat keputusan dalam banyak hal.

Allah swt berfirman :

"Demi matahari dan sinarnya di pagi hari. Demi bulan apabila ia mengiringi. Demi siang apabila ia menampakkan diri. Demi malam apabila ia menutupi. Demi langit serta binaannya. Demi bumi serta penghamparannya. Demi jiwa dengan segala penyempurnaan (ciptaan)Nya. Allah mengilhamkan kepada jiwa, keburukan dan kebaikan. Beruntunglah siapa yang membersihkannya, rugilah siapa yang mengotorinya." (QS As-Syams : 1-10)

Pergantian tahun bererti :

  1. Bertambah pula usia kita.
  2. Secara automatiknya kuota umur kita berkurang.
  3. Semakin kita mendekati kematian.

Penyair Arab mengatakan :

"Kamu adalah rangkaian dari hari-hari. Jika satu hari telah berlalu, maka akan berkurang umur kamu."

Lalu, apakah yang sudah kita perbuat dari bertambahnya usia kita atau berkurangnya kuota umur kita?

Jawaban ini penting kerana samada kita suka atau tidak suka, setiap yang hidup pasti akan menunggu giliran kematian.

Kematian adalah bukan akhir dari kehidupan bahkan justeru awal dari sebuah kehidupan yang kekal abadi.

Akhirat adalah waktu di mana penyelesaian kepada setiap permasaalahan manusia dilaksanakan secara seadil-adilnya. Jika waktu di dunia , setiap permasaalahan manusia ada yang boleh di manipulasi namun di akhirat nanti, semuanya akan dibuka dan putuskan secara adil.

Awal tahun hijriah merupakan saat yang sangat penting dalam sejarah Islam.

Kejayaan dakwah Rasulullah saw dimulai dengan hijrahnya beliau bersama para sahabat ke Yastrib yang kemudiannya dinamakan Madinah.

Rasulullah saw telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah kerana kemuliaan dan kelebihan bulan ini di mana sesungguhnya Allah swt tidak akan merujuk kepadaNya melainkan ada sebab-sebab yang membawa kepada kemuliaan dan kelebihannya.

Menurut Hasan Al-Basri, sesungguhnya Allah telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram dan ianya dinamakan bulan Allah kerana besar kehormatan dan kemuliaannya setelah bulan Ramadhan.

Muharram, bulan yang tiba-tiba mengetuk batin kita untuk segera mengenang peristiwa besar dalam sejarah, iaitu peristiwa hijrahnya Rasulullah saw dari kota Makkah menuju kota Madinah.

Setiap awal tahun hijriyah seperti ini sudah semestinya kita sebagai umat Islam segera membangun semangat baru untuk :

  1. Meningkatkan ketakwaan dalam diri kita.
  2. Meningkatkan ketaatan kepada Allah swt.

Pada masa yang sama, kita segera mengucapkan pada hari-hari yang telah berlalu dari tahun hijriyah sebelumnya :

"Selamat jalan, selamat menjadi teguran sejarah atas segala kekurangan dan kami berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang telah menyebabkan malapetaka dan kesengsaraan terhadap hidup kami di dunia mahupun di akhirat."

Apa yang menarik pada setiap diri kita ketika memasuki tahun baru adalah munculnya kesedaran baru dalam diri kita iaitu kesedaran akan beberapa perkara:

  1. Kesedaran bahwa diakui atau tidak, kuota umur kita telah berkurang.
  2. Pelaburan pahala kita untuk simpanan di akhirat masih sangat sedikit dibandingkan dengan nikmat-nikmat Allah yang setiap detik sentiasa mengalir tiada putus kepada kita.
  3. Kita seharusnya merasa malu di mana kita yang mengaku sebagai hamba Allah tetapi dalam banyak perkara, orientasi kita ialah menggunakan segala nikmat-nikmat Allah namun lupa bersyukur kepadaNya.
  4. Kita sering menjadikan diri kita sebagai hamba dunia dan bukan hamba Allah dalam ertikata yang sebenarnya.
  5. Kita masih sahaja lebih sibuk membuat pelaburan untuk kepentingan dunia daripada pelaburan untuk akhirat.

Dengan datangnya tahun baru ini, semoga semangat untuk membangun kemegahan akhirat lebih kuat dari semangat untuk membangun kemegahan dunia.

Tahun hijriyah berjalan seirama dengan perjalanan sirah Rasulullah saw. Sungguh banyak peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam yang dirakamkan dalam bulan-bulan hijriyah seperti :

  1. Awal turunnya Al-Qur'an.
  2. Titik permulaan hijrah.
  3. Tanggal kemenangan dalam perang Badar.
  4. Sambutan hari-hari besar Islam seperti Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Dalam erti kata lain, kita akan menjadi peribadi yang pandai membangun masa depan dengan berpijak kepada contoh tauladan masa lampau yang kukuh dan benar.

Dengan langkah tersebut, kita tidak akan mengulangi kesalahan dan kecelakaan masa lalu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadist :

"Seorang mu'min tidak akan pernah terjerumus dalam jurang yang sama dua kali". (HR Muslim)

HAKIKAT HIJRAH

Hijrah bererti berpindah atau meninggalkan. Dalam makna ini, hijrah memiliki dua bentuk :

1. HIJRAH MAKANIYAH (HIJRAH TEMPAT)

Hijrah tempat adalah berpindah secara fizikal dari satu tempat ke tempat yang lain. Kebanyakan ayat-ayat tentang hijrah bermakna "Makaniyah".

"Dan siapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), niscaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. Dan siapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang." (QS An-Nisa’ :100)

"Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia." (QS Al-Hajj : 58)

2. HIJRAH MA’NAWIYAH (HIJRAH HAKIKI)

Bentuk-bentuk hijrah hakiki di antaranya :

a. Meninggalkan kekufuran menuju keimanan.

b. Meninggalkan syirik menuju tauhid (hanya mengesakan Allah).

c. Meninggalkan kebiasaan mengingkari nikmat-nikmat Allah menjadi pandai bersyukur.

d. Berpindah dari kehidupan jahiliyah ke arah kehidupan Islam sebenar.

e. Berpindah dari sifat-sifat munafik dan tidak tetap pendirian menjadi istiqamah.

f. Mempunyai komitmen yang kuat pada nilai kebenaran dan meninggalkan kebatilan.

g. Meninggalkan perbuatan, makanan dan pakaian yang haram kepada kehidupan yang berpaksikan yang halal lagi baik.

h. Meninggalkan maksiat menuju taat hanya kepada Allah swt.

i. Meninggalkan kedengkian, kebohongan, rasuah, saling menjatuhkan sesama orang beriman, menyia-nyiakan waktu serta kebiasaan hidup yang menjadi beban kepada manusia lain dan juga masyarakat.

Hijrah secara "ma'nawiyah" ini ditegaskan oleh Allah swt dalam firmanNya :

"Dan berkatalah Ibrahim: "Sesungguhnya aku sentiasa berhijrah kepada Tuhanku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (QS Al-Ankabut : 26)

"Dan perbuatan dosa tinggalkanlah." (QS Al-Muddatsir : 5)

Kata kunci dari hijrah adalah "Perubahan" iaitu perubahan menuju kepada yang lebih baik dalam segala perkara.

Perubahan itu dilakukan semata-mata :

1. Kerana kebaikan.

2. Kerana manfaat.

3. Kerana mencari ridha Allah swt.

Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan RasulNya maka hijrahnya untuk Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang berhijrah untuk dunia (untuk memperolehi keuntungan duniawi) dan untuk menikahi wanita maka hijrah itu untuk apa yang diniatkannya." (HR Bukhari)

Oleh kerana itu, dalam menyusuri jalan hijrah ini, kita perlu :

a. Menetapkan arah atau tujuan hidup dengan jelas.

b. Ambil bekalan yang cukup.

c. Waspada terhadap godaan di perjalanan.

d. Jangan tertinggal dari rombongan kebaikan kerana hidup ini umpama bermusafir.

KEUTAMAAN BULAN MUHARRAM

Bulan Muharram merupakan salah satu dari empat bulan yang dimuliakan oleh Allah swt sejak diciptakannya langit dan bumi iaitu Zulqa'idah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab maka oleh sebab itu dilarang untuk berperang di dalamnya.

Allah swt berfirman :

"Sesungguhnya jumlah bulan di dalam kitab Allah (Al Qur'an) itu ada dua belas bulan sejak Allah menciptakan langit dan bumi, empat di antaranya adalah bulan-bulan haram" (QS At Taubah : 36)

Pada bulan muharram ini kita disunnahkan untuk berpuasa dan itu merupakan puasa yang paling utama setelah puasa Ramadhan.

Rasululllah saw bersabda :

"Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat malam" (HR Muslim)

Dalam hadits lain beliau menjelaskan bahwa puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) boleh menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu.

Dari Abu Qatadah ra, Rasululllah saw pernah ditanya tentang puasa hari 'Asyura, beliau bersabda:

"Saya berharap ia boleh menghapuskan dosa-dosa satu tahun  sebelumnya". (HR Muslim)

Hanya sahaja puasa di bulan Muharram ini mempunyai beberapa tingkatan :

TINGKATAN PERTAMA : PUASA PADA TANGGAL 10 MUHARRAM SAHAJA.

Ini sebagaimana yang disebut di dalam hadist berikut :

"Tatkala Nabi saw datang ke Madinah beliau melihat orang-orang Yahudi melakukan puasa di hari `Asyura. Beliau saw bertanya, "Hari apa ini?".

Orang-orang Yahudi menjawab, "Ini adalah hari baik, pada hari ini Allah selamatkan Bani Israil dari musuhnya, maka Musa as berpuasa pada hari ini.

Nabi saw bersabda, "Saya lebih berhak mengikuti Musa dari kamu (kaum Yahudi). Maka beliau berpuasa pada hari itu dan memerintahkan umatnya untuk melakukannya". (HR Bukhari)

Begitu juga diriwayatkan dari Aisyah ra, ia mengisahkan,

"Dahulu Rasulullah saw memerintahkan untuk puasa di hari `Asyura. Dan ketika puasa Ramadhan diwajibkan, barangsiapa yang ingin (berpuasa di hari `Asyura) ia boleh berpuasa dan barangsiapa yang ingin (tidak berpuasa) ia boleh berbuka". (HR Bukhari)

TINGKATAN KEDUA : PUASA PADA HARI ITU DAN SATU HARI SEBELUMNYA IAITU TANGGAL 9 DAN 10 MUHARRAM.

Ini berdasarkan ketika Rasulullah saw memerintahkan untuk puasa pada hari 'Asyura, para sahabat berkata : "Itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, beliau bersabda : jika datang tahun depan InsyaAllah kita akan berpuasa hari kesembilan, akan tetapi beliau meninggal pada tahun tersebut". (HR Muslim)

Ada satu riwayat lain dari Ibnu Abbas juga, beliau saw bersabda " Puasalah kamu pada tanggal sembilan dan sepuluh, bezakanlah dari orang-orang Yahudi ".

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata :

"Disunnahkan bagi yang puasa pada hari `Asyura untuk berpuasa juga pada tanggal sembilannya, kerana hal tersebut adalah perintah Rasulullah saw yang paling akhir".

Kita sangat dianjurkan untuk berpuasa pada hari-hari tersebut kerana ia mempunyai fadhilat yang sangat besar kerana setiap kita sangat memerlukan ampunan dariNya disebabkan betapa banyak dosa yang kita lakukan setiap hari bahkan setiap saat.

Kita juga memohon semoga Allah swt menerima semua amal ibadah kita dan menjadikannya sebagai pemberat timbangan kebaikan kita di akhirat nanti.

Allah swt berfirman,

"Barang siapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (QS An-Nisa : 100)

Sempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijriah 1432, kefahaman hijrah seperti di ataslah yang mesti segera kita buktikan.

Ya Allah, sesungguhnya kami memahami betapa besarnya pengorbanan Rasulullah saw dengan melakukan hijrah di mana dengan hijrahlah akhirnya beliau berhasil mencetak generasi yang berjiwa bersih, berhati suci bahkan membentuk generasi yang ideal, bersih dari kemusyrikan, kekufuran dan kemunafikan, memiliki kekuatan iman yang teguh dan ikatan ukhuwwah Islamiyah yang erat. Kurniakanlah kekuatan tekad dan azam kepada kami sehingga kami juga dapat menyusuri laluan hijrah Rasulullah saw bagi merubah kefahaman dan pemikiran kami ke arah perubahan kehidupan yang lebih menyeluruh.


Ameen Ya Rabbal Alameen


PERMAI
Persatuan Mahasiswa Islam Unirazak 2010
“Ilmu & Sahsiah”
1 Muharram 1432H